Sunday, November 27, 2016

RUJUKAN

RUJUKAN

1) Zek Zarina Shafii, 06 Jun 2012. Pembangunan Sektor Francais Di Malaysia.https://www.scribd.com/doc/96188416/Pembangunan-Sektor-Francais-Di-Malaysia-upload

2) Aziela Hanafee. (2013). Potensi Perniagaan Francais. Selangor: Pintar Firus Sdn. Bhd

3) Noorashikin Roslan. (4 Ogos 2014). Industri francais tunjuk perkembangan positif. Diperolehi pada 6 Januari 2016 daripada http://www.mfa.org.my/newmfa/ industri-francais-tunjuk-perkembangan-positif/

4) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012 – 2016.  www.kpdnkk.gov.my

5) Ismail Mohamad. ( 2012 ) . Francais : konsep dan perkembangannya.           Dewan Budaya, September : 48-49

6) http://www.mfa.org.my/newmfa/ industri-francais-tunjuk-perkembangan-positif/
Francais : Satu konsep perniagaan baru. ( 2013 ) . Berita Harian, 23 April : 12. 

MASA HADAPAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Masa Hadapan Industri Francais di Malaysia






Pada masa sekarang dan akan datang industri francais dilihat semakin berkembang sejajar dengan peredaran masa. Di Malaysia sekarang ini sudah banyak syarikat-syarikat francais berkembang seperti cendawan selepas hujan. Di mana-mana sahaja kita boleh jumpa perniagaan francais seperti 7-Eleven, KFC dan McDonald. Dengan adanya sokongan dan bantuan daripada kerajaan dapat menjayakan industri francais ini.
Konsep home-grown francaisor di Malaysia merupakan salah satu usaha terancang yang diterajui oleh kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak yang dapat membantu usahawan-usahawan tempatan memfrancaiskan perniagaan mereka. Usaha ini ialah sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional dalam program MPPB iaitu meramaikan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian.
Usaha ini dapat melahirkan ramai francaisor tempatan yang berdaya maju, mampu berkembang dan bersaing bukan sahaja dalam pasaran tempatan malah mampu menerokai pasaran global. Kejayaan home-grownfrancais seperti Marrybrown, Chicken King, Kyros Kebab, 1901, Nelson’s, Ayamas, Secret Recipe Cake & Cafe, Habib Jewels, Popular Bookstore dan Mydin menunjukkan keberkesanan program ini pada masa hadapan . Cap dagangan perniagaan francais ini kelihatan terdapat di kebanyakan bandar di seluruh Malaysia dan ada antaranya telah memasuki ke pasaran antarabangsa.
             Dengan adanya Akta Francais 1998 yang mula berkuat kuasa pada 8 Oktober 1999, industri francais dapat dilaksanakan dengan tegas dan berkesan. Akta ini digubal dengan tujuan membolehkan kerajaan mengawal selia pelaksanaan perniagaan berkonsepkan francais di Malaysia, mewujudkan sistem pendaftaran perniagaan francais yang teratur, mengumpul maklumat mengenai syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan francais dan membendung amalan tidak sihat dalam perniagaan francais. Akta ini juga memberi jaminan atau perlindungan kepada kedua-dua pihak iaitu francaisor dan francaisi supaya  menjalankan perniagaan francais dengan berkesan agar dapat terus berkembang tanpa menimbulkan sebarang masalah pada masa hadapan.

CABARAN DAN HALANGAN YANG DIHADAPI OLEH FRANCAISI DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA

Cabaran/halangan yang dihadapi oleh francaisi dan francaisor di Malaysia






Menurut Awalan (1999), antara faktor penyebab kepada masalah yang dihadapi oleh usahawan francaisi ialah kebanyakan usahawan francaisi ini terlalu ghairah untuk menceburi perniagaan francais. Mereka mengambil mudah dan terburu-buru ketika mula-mula hendak menceburi perniagaan francais sehinggakan mereka tidak meneliti dan tidak menjalankan kajian terhadap maklumat yang terdapat dalam dokumen penzahiran.

                                               Kelemahan Perniagaan Francais            
Setiap bidang perniagaan mempunyai kebaikan dan juga kelemahannya yang tersendiri. Oleh sebab itu, bidang francais juga tidak terlepas daripada kelemahannya terutama apabila perniagaan berkembang pesat. Francaisi berkemungkinan akan merasa tertekan oleh francaisor dan mula merasakan perjanjian yang dibuat tidak menyebelahi mereka atau dari segi kawasan pasaran yang berkemungkinan dimasuki oleh francaisi lain. Bagi francaisor pula, mereka menghadapi masalah untuk mengawal selia rangkaian francaisi yang bertambah serta memberi khidmat sokongan dan pasukan pengurusan yang mencukupi serta berkesan.
Antara kelemahan yang terdapat dalam sistem francais ialah seperti berikut:

(a) Kelemahan Francais kepada Francaisor:
i. Untuk menjalankan francais, francaisor terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi pembangunan francais di samping memerlukan masa yang panjang.
ii. Perkongsian francaisor-francaisi juga merupakan perkongsian rahsia-rahsia perniagaan. Ini akan membawa kepada risiko kemungkinan bentuk perniagaan akan ditiru atau diduplikasi oleh pihak lain.
iii. Perniagaan francais saling bergantung dan memerlukan antara satu dengan lain. Oleh sebab itu, proses pemilihan francaisi memang rumit bagi memastikan francaisi yang dipilih benar-benar berkelayakan dan mempunyai kesungguhan untuk menjalankan perniagaan.
iv. Masalah pembayaran royalti yang perlu dibuat oleh francaisi yang mungkin akan lewat membuat pembayaran terutama bagi francaisi yang mengalami masalah kewangan.
v. Rangkaian francaisi yang besar memerlukan pasukan pengurusan dan kawal selia yang berkesan bagi memastikan perjalanan dan perniagaan francaisi dapat memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh francaisor.
vi. Francaisi kebiasaannya akan menentang kempen promosi bermusim memandangkan ini akan meningkatkan kos kepada francaisi disebabkan kos bagi mengadakan promosi ditanggung bersama antara kedua-dua belah pihak.

(b) Kelemahan Francais kepada Francaisi:
i. Modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan bukan murah seperti yang dijangkakan.
ii. Francaisi mendapati sistem francais tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka dalam membuat keputusan memandangkan mereka terikat dengan perjanjian dalam menjalankan operasi perniagaan seperti yang terkandung dalam perjanjian francais.
iii. Faktor pemilihan francaisor perlu dipertimbangkan dengan teliti bagi memastikan francaisor yang dipilih benar-benar berkeupayaan untuk menjalankan perniagaan francais.
iv. Francaisi dan bakal francaisi mestilah mempunyai komitmen yang tinggi,sanggup bekerja kuat serta modal yang teguh bagi memastikan perniagaan dapat berjalan dengan lancar.
v. Francaisi kebiasaannya dikehendaki membayar yuran yang tinggi untuk mendapatkan hak francais. Kadar yuran yang dikenakan bergantung kepada kekuatan dan kestabilan francaisor yang dipilih.

vi. Lini produk yang terhad. Francaisi hanya dibenarkan menjual produk kepunyaan francaisor seperti yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan menambah produk sesuka hati. 

Dalam membangunkan industri francais berkembang, kerajaan telah merangka tiga fasa bagi membantu memajukan industri francais di Malaysia dan mencapai keadaan akhir sasaran dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat francais pada 2020:

Fasa 1 bermula dari 2012 hingga 2014 (3 tahun) dan melibatkan pemantapan peserta francais dan rangka kerja pembangunan francais;

Fasa 2 bermula dari 2015 hingga 2016 (2 tahun) dan melibatkan usaha ke arah industri dalam negeri yang dinamik dan teguh;  dan

Fasa 3 bermula dari 2017 hingga 2020 dan melibatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai Pusat Francais.


Strategi dan inisiatif yang dilaksanakan dalam Fasa 1 dan 2 juga menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai Pusat Francais.


SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA



Sistem Sokongan industri Francais di Malaysia

1)    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ialah peneraju utama ke arah melaksana dan menjayakan Program Pembangunan Francais di Malaysia setelah tanggungjawab pembangunan francais di Malaysia dipindahkan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun 2009. Tanggungjawab perniagaan francais ini diletakkan di Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Berikut ialah peranan yang dimainkan oleh Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK dalam memajukan perniagaan francais di Malaysia.
a)    Membangunkan perniagaan francais
Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK akan mengenal pasti perniagaan tempatan sedia ada mahupun perniagaan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai perniagaan francais. Usaha ini akan membolehkan perniagaan dibangunkan sebagai perniagaan francais walaupun pemilik atau usahawan tidak bersedia untuk memfrancaiskan perniagaan mereka pada awalnya.
b)    Mengurus pendaftaran perniagaan francais
Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK berperanan dalam mengurus pendaftaran bagi perniagaan yang ingin berpandu kepada sistem francais. Pendaftar Francais atau Registrar of Franchise (ROF) ialah pihak berkuasa bagi proses pendaftaran perniagaan francais di Malaysia.
 c)    Program latihan                                              
Mengadakan siri latihan dan bimbingan dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia, institusi pendidikan tinggi seperti UUM (Universiti Utara Malaysia) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara) serta agensi kerajaan yang terlibat.
d)    Program promosi
Menganjurkan seminar dan ekspo francais pada peringkat negeri di seluruh negara bagi mempromosi perniagaan francais. Pada peringkat nasional pula, pihak kementerian dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia dan agensi lain yang berkaitan, menganjurkan Franchise International Malaysia (FIM).
e)    Kemudahan pembiayaan
Kementerian telah menyediakan banyak skim kemudahan kewangan kepada usahawan-usahawan yang terlibat dalam perniagaan francais sama ada sebagai francaisi atau sebagai francaisor.
f)     Merangka dan melaksanakan strategi pembangunan industri francais
Strategi-strategi berkenaan merangkumi aspek-aspek penting pelaksanaan Program Pembangunan Francais.


2. Perbadanan Nasional Berhad (PNS)
PNS telah diberi mandat sebagai agensi utama untuk mengatur perancangan pembangunan dan pelaksanaan bagi memperkasa industri francais negara secara lebih komprehensif. PNS telah memperkenalkan beberapa strategi utama dalam pembangunan francais, iaitu program pakej khas, latihan, promosi, pembiayaan, pembangunan produk, jaringan strategik serta pembangunan dan penyelidikan.

 3. Persatuan Francais Malaysia (MFA)
Malaysian Franchise Association atau ringkasnya MFA telah ditubuhkan pada tahun 1994 untuk membantu usaha kerajaan dalam menggalak dan menambahkan bilangan usahawan yang terlibat dalam bidang francais. MFA bertindak sebagai pusat sumber maklumat kepada francaisor, francaisi, pihak media dan seterusnya orang ramai. MFA meletakkan para francaisor, bakal francaisor, master francaisi, bakal master francaisi, beberapa agensi kerajaan dan pihak berkuasa, bank, firma perakaunan, firma guaman, jururunding francais, pembekal dan vendor di bawah satu bumbung. MFA juga bertindak sebagai forum untuk ahli-ahli bertukar-tukar maklumat dan berkongsi pengalaman melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktivitinya.

4. Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)
PUNB ditubuhkan pada 17 Julai 1991 di bawah Akta Syarikat 1965 dan merupakan milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera, iaitu badan penyelaras bagi aktiviti pelaburan untuk agensi kerajaan, syarikat dan individu bumiputera. Operasi perniagaan PUNB tertumpu kepada penawaran pakej pembangunan keusahawanan bersepadu untuk membantu usahawan bumiputera dalam bidang Peruncitan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

5. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Ministry of International Trade and Industry atau MITI telah bekerjasama dengan KPDNKK serta Persatuan Francais Malaysia untuk mempromosi home-grown francaisor Malaysia ke pasaran luar negara melalui misi perdagangan antarabangsa.

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA




TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Sistem perniagaan francais ini kurang dikenali di Malaysia sebelum tahun    1990-an. Mula dikenali ramai di Malaysia selepas kerajaan melancarkan Program Pembangunan Francais pada tahun 1992 dan selepas Persatuan Francais Malaysia (MFA) ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak diperkenalkan oleh kerajaan, perniagaan francais di Malaysia semakin berkembang. Pada tahun 1995, terdapat 125 sistem francais di Malaysia dan pada tahun 2000, jumlahnya meningkat kepada 268. Pada tahun 2003, jumlahnya melonjak ke 321.

Berdasarkan perangkaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sehingga pertengahan tahun 2009, terdapat 374 sistem perniagaan francais berdaftar di seluruh negara (Utusan Malaysia, 17 Julai 2009). Daripada jumlah itu, 60 hingga 70 daripadanya dimiliki oleh ahli perniagaan bumiputera, sementara selebihnya ialah milik bukan bumiputera. Pada tahun 2010 pula, Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK menyenaraikan sejumlah 473 francaisor yang berdaftar di bawah Akta Francais 1998. Kebanyakan daripada perniagaan francais ini adalah dalam lima sektor utama iaitu sektor makanan, pakaian dan aksesori, peruncitan, kecantikan dan kesihatan serta perhotelan. Perkembangan dalam sistem perniagaan francais ini merupakan sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain.
 Pembangunan perniagaan francais di Malaysia banyak dipengaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh kerajaan. Program Pembangunan Francais ditubuhkan pada tahun 1992, di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) untuk membangunkan industri francais di Malaysia terutamanya dari aspek pembangunan keusahawanan dan pembangunan produk-produk francais tempatan. Kerajaan mengenal pasti perniagaan francais sebagai salah satu daripada mekanisme yang paling cepat dan berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan. Sehubungan dengan itu, kerajaan menjadikan Program Pembangunan Francais sebagai salah satu program utama untuk membangunkan usahawan golongan menengah bumiputera dan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Sejak penubuhan Program Pembangunan Francais pada tahun 1993 dan diikuti dengan penubuhan Persatuan Francais Malaysia pada tahun 1994, senario industri francais di Malaysia menampakkan perkembangan yang lebih pesat. Pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat usahawan tentang potensi perniagaan francais di negara ini. Ekoran daripada itu, lebih banyak produk dan perkhidmatan menggunakan pendekatan sistem francais. Sehubungan dengan itu, Akta Francais Malaysia 1998 digubal dan dikuatkuasakan bagi mengawal selia industri yang sedang berkembang pesat ini.





Di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh kerajaan menetapkan sasaran seramai 1,200 francaisi. Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan pula, kerajaan menyasarkan untuk membangunkan seramai 1,000 francaisi dan 50 francaisor. Sehubungan dengan itu, bagi mencapai hasrat ini, pelbagai aktiviti dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang potensi dan peluang-peluang perniagaan francais di Malaysia. Kerajaan menerusi Program Pembangunan Francais, MeCD bekerjasama dengan Persatuan Francais Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan keusahawanan seperti Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CeDI) Universiti Utara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Apabila MeCD dimansuhkan pada tahun 2009, tugas untuk membangunkan industri francais di Malaysia dipindahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kementerian (KPDNKK) yang juga menyasarkan untuk membangunkan kira-kira 50 francaisor tempatan dan 1000 francaisi menjelang 2012.

Perniagaan francais di Malaysia semakin berkembang. Antara bidang yang ingin dibangun atau dikembangkan ialah bidang perkhidmatan, pakej francais mikro dan mobileserta produk yang berteknologi tinggi atau berinovasi. Bidang perkhidmatan meliputi bidang kecantikan dan andaman, perkhidmatan cucian dan penyelenggaraan, jagaan harian orang tua dan kanak-kanak, hotel murah dan lain-lain. Pakej francais mikro dan mobile akan memfokuskan produk perusahaan kecil dan sederhana (SME), kios makanan, perkhidmatan kecantikan dan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan bergerak. Produk berteknologi tinggi atau produk berinovasi akan dikenal pasti melalui MOSTI dan MDEC.

KEPENTINGAN INDUSTRI FRANCAIS TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI DAN SOSIAL



Kepentingan Industri Francais

Perkembangan perniagaan francais memberi pelbagai manfaat kepada sesebuah negara, terutamanya dari segi ekonomi. Berikut adalah antara sumbangan perniagaan francais kepada ekonomi sesebuah negara:
Ø  Merangsang pertubuhan ekonomi menerusi peningkatan aktiviti keusahawanan;
Ø  Membantu dalam pemindahan kepakaran, teknologi dan idea-idea baharu dalam pembangunan ekonomi;
Ø  Menggalakkan perdagangan antarabangsa menerusi pakej pelantikan francaisi induk oleh francaisor tempatan, sekali gus menyumbang ke arah pemantapan pertukaran mata wang negara;
Ø  Menyediakan peluang perniagaan kerana perniagaan kecil milik francaisi sangat mudah dan cepat menyumbang kepada pengambilan tenaga kerja.

Sistem francais boleh menjadi satu aplikasi dalam projek penswastaan dengan melibatkan lebih ramai usahawan mengendalikan projek atau perniagaan berdasarkan sistem yang sama. Projek Rangkaian Hotel Seri Malaysia ialah satu contoh yang berjaya dalam kategori ini. Selain itu, sistem perniagaan francais juga memberi kebaikan kepada pengguna dan juga pertumbuhan ekonomi negara. Melalui sistem francais, pengguna dapat menikmati kemudahan produk atau servis yang ditawarkan melalui rangkaian perniagaan yang besar dengan persekitaran yang konduktif. Di samping itu juga, pengguna akan memperoleh perkhidmatan dan kemudahan perniagaan yang moden mengikut peredaran masa.

Jika dilihat dari sudut ekonomi, situasi ini akan membantu merangsang lagi pertumbuhan perniagaan dengan mewujudkan usahawan-usahawan tempatan yang akan menawarkan produk yang berjenama. Melalui sistem francais juga satu transformasi kepakaran, teknologi dan idea-idea baharu akan diperoleh oleh usahawan yang akan membantu pertumbuhan ekonomi setempat. Selain itu, senario ini akan menggalakkan perdagangan antarabangsa sekali gus menyumbang kepada pertukaran mata wang negara di samping membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.


Industri francais bukan sahaja penyumbang kepada pendapatan tahunan negara malah ianya juga penting kepada usahawan yang ingin menceburi bidang perniagaan. Kepentingan industri francais kepada usahawan disimpulkan seperti berikut:

1. Sistem francais membolehkan suatu perniagaan berkembang dan selaras dengan kehendak pasaran dan trend masa kini.

2. Sistem francais membolehkan suatu perniagaan itu dikenali di serata tempat dengan bantuan francaisi yang telah dilantik.

3. Sistem francais membolehkan suatu perniagaan itu beroperasi seperti biasa walaupun kedai induk tidak beroperasi.

4. Sistem francais membolehkan pendapatan perniagaan berlipat kali ganda  mengikut jumlah francais yang diperkenalkan dan bilangan francaisi yang dilantik, berbanding dengan perniagaan runcit biasa yang hanya mendapat satu pendapatan iaitu dari pendapatan perniagaan runcit itu sendiri.

5. Sistem francais ini berkekalan sepanjang masa sama seperti sistem francais yang dikenali seperti KFC,McDonald, PizzaHut, Subway, dan lain-lain. Dan yang paling penting sekali adalah  pendapatan perniagaan akan berkekalan walaupun  salah satu francaisi tidak berniaga lagi.

6. Sistem francais dan perdagangan dari perniagaan runcit adalah gabungan terbaik untuk perniagaan masa kini kerana permintaan pengguna kepada barangan runcit tidak terhad.

7. Sistem francais memerlukan modal yang rendah berbanding pembukaan perniagaan runcit.

INDUSTRI FRANCAIS

SEJARAH PEMBANGUNAN FRANCAIS


Sejarah Pembangunan Industri Francais Peringkat Global dan Malaysia



 

McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun 1850-an. Singer Sewing Machine Company telah mula memberi lesen hak pengedaran produk Singer kepada syarikat-syarikat individu sebagai ejen pengedaran mesin keluaran Singer di kawasan pasaran yang eksklusif. Beliau turut memperkenalkan cara pengedaran yang baharu iaitu pengedar-pengedar yang dilantik mempunyai hak penjualan yang eksklusif di kawasan pemasaran mereka tanpa diganggu oleh pengedar-pengedar lain dan mereka dikehendaki membayar royalti atau yuran untuk memperoleh hak tersebut.
Ini diikuti oleh General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar francais pada tahun 1898.Perkara ini diikuti oleh Rexall pada tahun 1902 dengan memperkenalkan rangkaian kedai ubat dan Howard Johnson pada tahun 1926 dengan rangkaian restoran. Kemudiannya, seorang usahawan terkemuka dari Atlanta Amerika Syarikat, John S. Pemberton telah menemui ramuan ubat lalu memperkenalkannya. Beliau kemudian mengubahnya menjadi minuman ringandan membekalkannya dalam bentuk sirap kepada syarikat-syarikat pembotolan tempatan Amerika Syarikat. Usaha ini berjaya mewujudkan satu rangkaian francais minuman yang terbesar berjenama Coca-Cola. Kejayaan ini telah menjadi pemangkin kepada kewujudan syarikat lain seperti Pepsi-Cola dan Seven-Up.
Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonalds oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan francais. Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, 96 peratus daripada rakyat Amerika telah mengunjungi Restoran McDonalds sekurang-kurangnya sekali dan sekurang-kurangnya 8% daripada mereka sedang atau telah menikmati hidangan McDonalds untuk hari ini.
Lebih separuh daripada penduduk Amerika tinggal di sekitar 5 kilometer daripada Restoran McDonalds, dan sejak 40 tahun kebelakangan ini McDonalds telah mengambil 16 juta orang pekerja di mana akhir-akhir ini syarikat berkenaan telah mengatasi U.S Army di dalam melatih jumlah belia yang terbesar iaitu hampir 700,000 belia setiap tahun. Meskipun, perniagaan francais seringkali dikaitkan rangkaian makanan segera, namun realiti hari ini, dari segi nilai jualan, hampir dua-pertiga daripada jualan francais sebenarnya disumbangkan oleh industri bukan berasaskan makanan segera.
Umumnya, perniagaan francais di Malaysia telah bermula kira-kira 70 tahun yang lalu menerusi syarikat-syarikat seperti Singer, Bata, stesen-stesen minyak, pengedar-pengedar automobil dan perhotelan. Kaedah pemasaran produk melalui sistem francais berbentuk format perniagaan diperkenalkan pada tahun 1963 apabila A&W membuka outlet pertamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ini diikuti dengan kemasukan restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald’s yang mula beroperasi di Malaysia pada tahun 70-an dan awal 80-an.
               Restoran yang beralamat di Lot 120-120A Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur merupakan restoran makanan McDonalds yang pertama dibuka di Malaysia yang telah diuruskan oleh Golden Arches Restaurant Sdn. Bhd. Pada hari tersebut, McDonalds di Bukit Bintang ini telah memberikan burger Big Mac percuma bagi pelanggan yang pertama membeli Big Mac pada setiap minggu selama setahun. Selain Big Mac, McDonalds juga menjual French Fries, Fillet-O-Fish, Milkshake, Apple Pie dan lain-lain.
Namun industri perniagaan francais hanya mendapat perhatian serius pihak kerajaan dan masyarakat Malaysia pada awal tahun 1990-an. Kini di Malaysia, kerajaan telah mengenal pasti perniagaan francais sebagai salah satu strategi yang memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi negara. Sistem perniagaan francais juga dianggap sebagai salah satu mekanisme yang paling cepat dan berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan. Sejajar dengan itu, tidak hairanlah perniagaan ini semakin berkembang di Malaysia.

Senario ini berterusan dengan pertumbuhan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang menggunakan pendekatan sistem francais, termasuk sektor berkaitan automotif (jualan kereta, pusat servis, perkhidmatan tayar, jualan alat ganti dan aksesori), kedai buku, fesyen dan pakaian, kedai runcit, salun dan kosmetik, agensi pelancongan dan penyewaan kereta, barangan kemas, percetakan, kedai gambar, optometri, farmasi, perkhidmatan kebersihan dan lain-lain.




APA ITU FRANCAIS?


Pada masa kini, perniagaan berbentuk francias telah diterima oleh kebanyakan Negara sebagai pemangkin utama dalam sektor pembangunan Industri Kecil Serdahana (IKS). Francias berasal dari bahasa Anglo-French iaitu kata dasar “Franc” atau “Franchising” yang bermaksud PERCUMA. Di mana tuan punya perniagaan digelar ” Francaiser” (Franchiser) dan peniaga yang menggunakan model perniagaan Francaiser digelar, ” Francaisi” (Franchisee).
Francais bermaksud satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat pemberi francais (francaisor) memberi kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau syarikat pemegang francais (francaisi) untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan dalam jangkamasa tertentu dan pada lokasi yang ditentukan.
Menurut Persatuan Francais Malaysia(MFA), dari sudut konsep komersial Francais adalah satu kaedah pemasaran yang berasaskan pemberian hak dan tanggungjawab bagi menjalankan sesuatu perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga, sistem, lokasi atau kawasan dan jangka masa yang ditentukan. Dari sudut perundangan (Akta Francais) pula, Francais adalah kontrak atau perjanjian sama ada secara nyata atau tersirat, secara lisan atau tertulis di antara 2 orang atau lebih di mana antaranya. Francaisor memberi francaisi hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama tempoh yang ditentukan oleh francaisor.

 Dengan kata lain francais adalah perkongsian perniagaan di antara pemilik produk (francaisor) dan pelabur (francaisi) di mana francaisor akan menyediakan produk dan sistem perniagaan manakala francaisi akan menyediakan modal dalam bentuk dana, sumber manusia dan usaha berterusan untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Francais adalah satu amalan perniagaan di mana sebuah syarikat diberi hak untuk mengendalikan perniagaan serupa dengan sesuatu syarikat lain dengan menggunakan jenama, model dan operasi perniagaan syarikat berkenaan. Bagi pemilik perniagaan atau francaisor, francais merupakan alternatif untuk mengembangkan perniagaan melalui pelaburan pihak ketiga (francaisi).

Perniagaan francais juga merupakan suatu pendekatan yang membuka jalan termudah bagi seseorang individu atau syarikat untuk menceburi dalam bidang perniagaan. Perniagaan francais meliputi semua jenis perniagaan berangkaian yang memenuhi ciri asas 3S iaitu sistem (system), pengkhususan (specialization), dan piawaian (standardization). 

Jenis-jenis industri francais adalah termasuk Francais pengedaran produk (secara convertion), Francais tanda nama (cap dagangan), Francais format perniagaan. Menurut Persatuan Francais Malaysia (MFA), francais jenis pengedaran produk merupakan syarikat persendirian yang sedia ada telah dipelawa untuk menjadi francaisi dalam rangkaian perniagaan francaisor. Francaisi akan menukar tanda nama dan cap dagangan dagangan kepada jenama francaisor. Contohnya, Syarikat Madani Greatlink Sdn.Bhd telah diberi hak oleh Proton Edar untuk menjual kereta nasional.

 Selain itu, Francais jenis tanda nama(cap dagangan) pula dikawalselia oleh francaisor untuk memastikan kualiti dan nama baik francaisor terpelihara. Hak yang diberikan kepada francaisi menggunakan jenama, tanda nama, dan logo. Francaisi dalam cap dagangan ini tidak memerlukan konsep dan sistem perniagaan yang lengkap Contohnya, syarikat XYZ yang berjaya mendapatkan hak untuk menggunakan watak karton Doreamon dalam hiasan barangan ataupun makanan yang dijual.

Manakala, Francais jenis format perniagaan pula yang paling popular dan mendapat pengikhtirafan di bawah Program Pembagunan Francais anjuran kerajaan. Peniaga Francais jenis ini diberikan hak untuk menduplikasikan keseluruhan sistem perniagaan yang diamalkan oleh francaisor. Mereka biasanya terus mendapatkan hak menggunakan jenama dan mengedarkan produk yang ditawarkan. Industri francais jenis ini lebih mudah untuk menjalankan perniagaan kerana semuanya disediakan oleh francaisor. Francaisor mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan semuanya yang berkaitan dengan perniagaan yang akan dijalankan oleh francaisi.

            Konsep perniagaan ini adalah boleh di dominasi dalam berbagai cara. Pada prinsipnya ia merupakan satu hubungan perniagaan secara kontrak di antara dua pihak (francaisor dan francaisi) yang ditubuhkan untuk mengagihkan atau mengedarkan barangan dan perkhidmatan melalui "outlets" tertentu untuk satu jangkamasa yang ditentukan atau tiada had jangkamasa. Ianya berdasarkan satu perjanjian di mana francaisor menganugerahkan francaisi hak untuk menggunakan berbagai proses alat kelengkapan, sistem beroperasi dan nama baik (goodwill) francaisor di dalam mengeluar, menjual dan mengedarkan barangan dari jenama (trademark) perniagaan tertentu.


Oleh sebab kedua-dua pihak secara ekonominya adalah saling bergantung antara satu sama lain meskipun mereka adalah "business entity" yang berasingan maka, francaisor perlu membekalkan kepada francaisi dengan kepakaran mengelolakan perniagaan melalui latihan dan penyediakan manual operasi yang komprehensif. Francaisor dan francaisi adalah bersama-sama mengawal kualiti barangan dan prosedur beroperasi demi nama baik tanda niaga.