Sunday, November 27, 2016

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA




TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS DI MALAYSIA

Sistem perniagaan francais ini kurang dikenali di Malaysia sebelum tahun    1990-an. Mula dikenali ramai di Malaysia selepas kerajaan melancarkan Program Pembangunan Francais pada tahun 1992 dan selepas Persatuan Francais Malaysia (MFA) ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak diperkenalkan oleh kerajaan, perniagaan francais di Malaysia semakin berkembang. Pada tahun 1995, terdapat 125 sistem francais di Malaysia dan pada tahun 2000, jumlahnya meningkat kepada 268. Pada tahun 2003, jumlahnya melonjak ke 321.

Berdasarkan perangkaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sehingga pertengahan tahun 2009, terdapat 374 sistem perniagaan francais berdaftar di seluruh negara (Utusan Malaysia, 17 Julai 2009). Daripada jumlah itu, 60 hingga 70 daripadanya dimiliki oleh ahli perniagaan bumiputera, sementara selebihnya ialah milik bukan bumiputera. Pada tahun 2010 pula, Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK menyenaraikan sejumlah 473 francaisor yang berdaftar di bawah Akta Francais 1998. Kebanyakan daripada perniagaan francais ini adalah dalam lima sektor utama iaitu sektor makanan, pakaian dan aksesori, peruncitan, kecantikan dan kesihatan serta perhotelan. Perkembangan dalam sistem perniagaan francais ini merupakan sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain.
 Pembangunan perniagaan francais di Malaysia banyak dipengaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh kerajaan. Program Pembangunan Francais ditubuhkan pada tahun 1992, di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) untuk membangunkan industri francais di Malaysia terutamanya dari aspek pembangunan keusahawanan dan pembangunan produk-produk francais tempatan. Kerajaan mengenal pasti perniagaan francais sebagai salah satu daripada mekanisme yang paling cepat dan berkesan dalam membangunkan usahawan-usahawan tempatan. Sehubungan dengan itu, kerajaan menjadikan Program Pembangunan Francais sebagai salah satu program utama untuk membangunkan usahawan golongan menengah bumiputera dan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Sejak penubuhan Program Pembangunan Francais pada tahun 1993 dan diikuti dengan penubuhan Persatuan Francais Malaysia pada tahun 1994, senario industri francais di Malaysia menampakkan perkembangan yang lebih pesat. Pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat usahawan tentang potensi perniagaan francais di negara ini. Ekoran daripada itu, lebih banyak produk dan perkhidmatan menggunakan pendekatan sistem francais. Sehubungan dengan itu, Akta Francais Malaysia 1998 digubal dan dikuatkuasakan bagi mengawal selia industri yang sedang berkembang pesat ini.





Di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh kerajaan menetapkan sasaran seramai 1,200 francaisi. Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan pula, kerajaan menyasarkan untuk membangunkan seramai 1,000 francaisi dan 50 francaisor. Sehubungan dengan itu, bagi mencapai hasrat ini, pelbagai aktiviti dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang potensi dan peluang-peluang perniagaan francais di Malaysia. Kerajaan menerusi Program Pembangunan Francais, MeCD bekerjasama dengan Persatuan Francais Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan keusahawanan seperti Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CeDI) Universiti Utara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Apabila MeCD dimansuhkan pada tahun 2009, tugas untuk membangunkan industri francais di Malaysia dipindahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kementerian (KPDNKK) yang juga menyasarkan untuk membangunkan kira-kira 50 francaisor tempatan dan 1000 francaisi menjelang 2012.

Perniagaan francais di Malaysia semakin berkembang. Antara bidang yang ingin dibangun atau dikembangkan ialah bidang perkhidmatan, pakej francais mikro dan mobileserta produk yang berteknologi tinggi atau berinovasi. Bidang perkhidmatan meliputi bidang kecantikan dan andaman, perkhidmatan cucian dan penyelenggaraan, jagaan harian orang tua dan kanak-kanak, hotel murah dan lain-lain. Pakej francais mikro dan mobile akan memfokuskan produk perusahaan kecil dan sederhana (SME), kios makanan, perkhidmatan kecantikan dan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan bergerak. Produk berteknologi tinggi atau produk berinovasi akan dikenal pasti melalui MOSTI dan MDEC.

No comments:

Post a Comment