Cabaran/halangan yang dihadapi oleh francaisi dan francaisor di Malaysia
Menurut Awalan (1999), antara faktor penyebab kepada masalah yang dihadapi oleh usahawan francaisi ialah kebanyakan usahawan francaisi ini terlalu ghairah untuk menceburi perniagaan francais. Mereka mengambil mudah dan terburu-buru ketika mula-mula hendak menceburi perniagaan francais sehinggakan mereka tidak meneliti dan tidak menjalankan kajian terhadap maklumat yang terdapat dalam dokumen penzahiran.
Kelemahan Perniagaan Francais
Setiap bidang perniagaan mempunyai kebaikan dan juga kelemahannya yang tersendiri. Oleh sebab itu, bidang francais juga tidak terlepas daripada kelemahannya terutama apabila perniagaan berkembang pesat. Francaisi berkemungkinan akan merasa tertekan oleh francaisor dan mula merasakan perjanjian yang dibuat tidak menyebelahi mereka atau dari segi kawasan pasaran yang berkemungkinan dimasuki oleh francaisi lain. Bagi francaisor pula, mereka menghadapi masalah untuk mengawal selia rangkaian francaisi yang bertambah serta memberi khidmat sokongan dan pasukan pengurusan yang mencukupi serta berkesan.
Antara kelemahan yang terdapat dalam sistem francais ialah seperti berikut:
(a) Kelemahan Francais kepada Francaisor:
i. Untuk menjalankan francais, francaisor terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi pembangunan francais di samping memerlukan masa yang panjang.
ii. Perkongsian francaisor-francaisi juga merupakan perkongsian rahsia-rahsia perniagaan. Ini akan membawa kepada risiko kemungkinan bentuk perniagaan akan ditiru atau diduplikasi oleh pihak lain.
iii. Perniagaan francais saling bergantung dan memerlukan antara satu dengan lain. Oleh sebab itu, proses pemilihan francaisi memang rumit bagi memastikan francaisi yang dipilih benar-benar berkelayakan dan mempunyai kesungguhan untuk menjalankan perniagaan.
iv. Masalah pembayaran royalti yang perlu dibuat oleh francaisi yang mungkin akan lewat membuat pembayaran terutama bagi francaisi yang mengalami masalah kewangan.
v. Rangkaian francaisi yang besar memerlukan pasukan pengurusan dan kawal selia yang berkesan bagi memastikan perjalanan dan perniagaan francaisi dapat memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh francaisor.
vi. Francaisi kebiasaannya akan menentang kempen promosi bermusim memandangkan ini akan meningkatkan kos kepada francaisi disebabkan kos bagi mengadakan promosi ditanggung bersama antara kedua-dua belah pihak.
(b) Kelemahan Francais kepada Francaisi:
i. Modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan bukan murah seperti yang dijangkakan.
ii. Francaisi mendapati sistem francais tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka dalam membuat keputusan memandangkan mereka terikat dengan perjanjian dalam menjalankan operasi perniagaan seperti yang terkandung dalam perjanjian francais.
iii. Faktor pemilihan francaisor perlu dipertimbangkan dengan teliti bagi memastikan francaisor yang dipilih benar-benar berkeupayaan untuk menjalankan perniagaan francais.
iv. Francaisi dan bakal francaisi mestilah mempunyai komitmen yang tinggi,sanggup bekerja kuat serta modal yang teguh bagi memastikan perniagaan dapat berjalan dengan lancar.
v. Francaisi kebiasaannya dikehendaki membayar yuran yang tinggi untuk mendapatkan hak francais. Kadar yuran yang dikenakan bergantung kepada kekuatan dan kestabilan francaisor yang dipilih.
vi. Lini produk yang terhad. Francaisi hanya dibenarkan menjual produk kepunyaan francaisor seperti yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan menambah produk sesuka hati.
Dalam membangunkan industri francais berkembang, kerajaan
telah merangka tiga fasa bagi membantu memajukan industri francais di Malaysia
dan mencapai keadaan akhir sasaran dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai
pusat francais pada 2020:
Fasa 1 bermula dari 2012 hingga 2014 (3 tahun) dan
melibatkan pemantapan peserta francais dan rangka kerja pembangunan francais;
Fasa 2 bermula dari 2015 hingga 2016 (2 tahun) dan
melibatkan usaha ke arah industri dalam negeri yang dinamik dan teguh; dan
Fasa 3 bermula dari 2017 hingga 2020 dan melibatkan usaha
menjadikan Malaysia sebagai Pusat Francais.
Strategi dan inisiatif yang dilaksanakan dalam Fasa 1 dan 2
juga menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai Pusat Francais.
No comments:
Post a Comment