Sistem Sokongan industri Francais di Malaysia
1) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ialah peneraju utama ke arah melaksana dan menjayakan Program Pembangunan Francais di Malaysia setelah tanggungjawab pembangunan francais di Malaysia dipindahkan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun 2009. Tanggungjawab perniagaan francais ini diletakkan di Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Berikut ialah peranan yang dimainkan oleh Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK dalam memajukan perniagaan francais di Malaysia.
a) Membangunkan perniagaan francais
Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK akan mengenal pasti perniagaan tempatan sedia ada mahupun perniagaan baharu yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai perniagaan francais. Usaha ini akan membolehkan perniagaan dibangunkan sebagai perniagaan francais walaupun pemilik atau usahawan tidak bersedia untuk memfrancaiskan perniagaan mereka pada awalnya.
b) Mengurus pendaftaran perniagaan francais
Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK berperanan dalam mengurus pendaftaran bagi perniagaan yang ingin berpandu kepada sistem francais. Pendaftar Francais atau Registrar of Franchise (ROF) ialah pihak berkuasa bagi proses pendaftaran perniagaan francais di Malaysia.
c) Program latihan
Mengadakan siri latihan dan bimbingan dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia, institusi pendidikan tinggi seperti UUM (Universiti Utara Malaysia) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara) serta agensi kerajaan yang terlibat.
d) Program promosi
Menganjurkan seminar dan ekspo francais pada peringkat negeri di seluruh negara bagi mempromosi perniagaan francais. Pada peringkat nasional pula, pihak kementerian dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia dan agensi lain yang berkaitan, menganjurkan Franchise International Malaysia (FIM).
e) Kemudahan pembiayaan
Kementerian telah menyediakan banyak skim kemudahan kewangan kepada usahawan-usahawan yang terlibat dalam perniagaan francais sama ada sebagai francaisi atau sebagai francaisor.
f) Merangka dan melaksanakan strategi pembangunan industri francais
Strategi-strategi berkenaan merangkumi aspek-aspek penting pelaksanaan Program Pembangunan Francais.
2. Perbadanan Nasional Berhad (PNS)
PNS telah diberi mandat sebagai agensi utama untuk mengatur perancangan pembangunan dan pelaksanaan bagi memperkasa industri francais negara secara lebih komprehensif. PNS telah memperkenalkan beberapa strategi utama dalam pembangunan francais, iaitu program pakej khas, latihan, promosi, pembiayaan, pembangunan produk, jaringan strategik serta pembangunan dan penyelidikan.
3. Persatuan Francais Malaysia (MFA)
Malaysian Franchise Association atau ringkasnya MFA telah ditubuhkan pada tahun 1994 untuk membantu usaha kerajaan dalam menggalak dan menambahkan bilangan usahawan yang terlibat dalam bidang francais. MFA bertindak sebagai pusat sumber maklumat kepada francaisor, francaisi, pihak media dan seterusnya orang ramai. MFA meletakkan para francaisor, bakal francaisor, master francaisi, bakal master francaisi, beberapa agensi kerajaan dan pihak berkuasa, bank, firma perakaunan, firma guaman, jururunding francais, pembekal dan vendor di bawah satu bumbung. MFA juga bertindak sebagai forum untuk ahli-ahli bertukar-tukar maklumat dan berkongsi pengalaman melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktivitinya.
4. Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)
PUNB ditubuhkan pada 17 Julai 1991 di bawah Akta Syarikat 1965 dan merupakan milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera, iaitu badan penyelaras bagi aktiviti pelaburan untuk agensi kerajaan, syarikat dan individu bumiputera. Operasi perniagaan PUNB tertumpu kepada penawaran pakej pembangunan keusahawanan bersepadu untuk membantu usahawan bumiputera dalam bidang Peruncitan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
5. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Ministry of International Trade and Industry atau MITI telah bekerjasama dengan KPDNKK serta Persatuan Francais Malaysia untuk mempromosi home-grown francaisor Malaysia ke pasaran luar negara melalui misi perdagangan antarabangsa.
|
No comments:
Post a Comment